20 Aug 2013

Utusan lancar Tutor bantu murid



Mohamad Ali Hasan (dua dari kanan) dan Mohd. Nasir Ali (kanan) bersama guru serta murid dari Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri menunjukkan isyarat bagus kepada akhbar Tutor terbitan Utusan Melayu (M) Berhad pada majlis pelancarannya, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Utusan Melayu (M) Berhad terus melangkah ke hadapan apabila menerbitkan akhbar pendidikan kedua iaitu Tutor selepas akhbar sisipan, Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) diterbitkan pada 2004.

Tutor bersaiz tabloid yang dijual berasingan dengan harga 40 sen dan eksklusif untuk edaran di sekolah itu akan dikeluarkan dua kali setiap bulan, namun keluaran ADaP kekal seperti biasa sebagai sisipan percuma pada Rabu dan Khamis.

Akhbar terbaharu itu disasarkan penjualannya untuk empat zon yang merangkumi 40,000 murid dan pelajar iaitu untuk zon utara, selatan, timur dan wilayah tengah.

Akhbar Tutor yang boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu awal, pertengahan dan hujung tahun itu diaplikasikan berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kebat) yang merupakan fokus utama Kementerian Pendidikan pada masa ini.

Sehubungan itu, sifat Tutor adalah berasaskan kalendar akademik persekolahan iaitu bentuk kandungan serta cara penyampaiannya akan berbeza-beza sepanjang tahun, namun selari dengan keperluan semasa guru-guru di sekolah.

Sebagai permulaan, cetakan pertama dan penerbitan kedua pada 2 September ini memberi fokus kepada kandungan set soalan peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang merangkumi semua kertas peperiksaan bagi set satu dan set dua.

Edisi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula akan berada di pasaran sekolah yang melanggan pada 9 dan 23 September ini disusuli edisi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua minggu kemudian.

Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, Tutor versi cetakan itu merupakan inisiatif terkini dan berterusan Utusan Melayu (M) Berhad dalam menyokong bidang pendidikan negara selain permintaan tinggi pembaca yang mahu legasi pembelajaran atas talian tutor.com.my diteruskan kepada cetakan.

''Tutor akan menjadi akhbar pendidikan paling murah di Malaysia iaitu 40 sen sahaja senaskhah sekiranya pihak sekolah melanggan secara berasingan daripada naskhah Utusan Malaysia.

''Tetapi jika pihak sekolah mahu melanggan akhbar Utusan Malaysia dalam tempoh dan kuantiti tertentu, maka Tutor akan diserapkan sebagai pakej pembelian Utusan Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tutor di sini hari ini.

Majlis dilancarkan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.

Menurut Wahid, pihak sekolah akan menikmati keuntungan berganda jika melanggan Utusan Malaysia dengan harga 75 sen senaskhah kerana turut memperoleh Tutor, ADaP dan e-Lab.

Pihak sekolah yang ingin melanggan Tutor boleh menghubungi Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Ahmad Faizi Amzah di talian 019-2800516/ 03-89243988 atau 03-89243843.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130820/dn_05/Utusan-lancar-Tutor-bantu-murid#ixzz2cVYJ6089
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment