30 Jan 2014

Oleh    AZMY     MOHAMED

Tindakan penjaja tanpa lesen yang menjual makanan ringan tidak berkhasiat di perkarangan luar sekolah perlu dibanteras kerana boleh menjejaskan kesihatan murid.

Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Abdul Aziz Mohamed (gambar) berkata, kandungan makanan ringan terutama yang diimport dari luar negara meragukan.

“Beberapa kes bahan makanan dan susu formula bayi yang tercemar di luar negara khususnya di China yang ditarik balik dari pasaran wajar dijadikan teladan.

“Jika berlaku sesuatu kepada murid, pihak sekolah yang akan dipertanggungjawabkan, walaupun jualan makanan atau minuman tidak berkhasiat itu dilakukan oleh mereka yang tidak mendapat kebenaran daripada kami," katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Shah Alam, Selangor baru- baru ini.

Penjaja tanpa lesen ini lazimnya beroperasi di kawasan pintu masuk sekolah dengan menggunakan kenderaan persendirian.

Walaupun ada tanda larangan berniaga di kawasan luar premis sekolah namun tidak diendahkan oleh penjaja yang berurus niaga dengan membuka but kereta.Menurut Abdul Aziz, pihak sekolah tiada kuasa undang- undang untuk mengambil tindakan kepada penjaja terbabit kecuali memberi nasihat kepada murid- murid agar menjauhi makanan tidak berkhasiat.

“Tindakan undang- undang hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) namun apabila ada operasi penguatkuasaan, penjaja ini akan menikus seketika sebelum kembali aktif berniaga," terang beliau.
Selain makanan ringan, penjaja terbabit turut menjual air minuman yang tidak diketahui puncanya dan dimasak pada suhu yang sepatutnya atau tidak.

Hal ini perlu ditegah dan dicegah untuk mengelakkan kejadian keracunan makanan di kalangan murid.

Paling utama, pencegahan ini penting untuk menghindarkan murid daripada membazir dan berbelanja untuk membeli barangan yang tidak perlu.

“Ada di kalangan penjaja yang menjual pistol mainan serta aksesori perhiasan diri seperti rantai, gelang dan cekak rambut.

“Pembelian barangan tidak perlu ini kadang kala menyebabkan sesetengah murid sanggup mengikat perut dengan tidak membeli makanan semasa waktu rehat," ujar Abdul Aziz.

Menurut beliau, keadaan itu tentunya tidak baik untuk perkembangan minda dan tumbesaran murid.
Malah, pistol mainan yang dijual juga boleh membahayakan keselamatan murid-murid.

Oleh itu, satu tindakan pembanterasan perlu dilakukan kerana masalah penjaja tanpa lesen yang berniaga di perkarangan luar kawasan sekolah ini berlaku di seluruh negara.

Jika perlu, gubal satu akta yang membenarkan pihak sekolah mengambil tindakan perundangan kepada penjaja yang berniaga dalam radius lima kilometer dari kawasan sekolah.

Mungkin melalui penggubalan akta itu akan lebih menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah daripada risiko penyakit berbahaya untuk jangka masa panjang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140127/pe_01/Banteras-penjaja-haram-di-sekolah#ixzz2rquhgfJ4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment