10 Oct 2014

Keputusan UPSR diumum 26 November


Advertisement

Dr. Khair Mohamad Yusof (kanan) bersama murid-murid tahun enam mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik ketika mengadakan pemantauan ke Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid


SEREMBAN 9 Okt. - Kesemua calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ulangan dijangka memperoleh keputusan mereka masing-masing pada 26 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, tarikh yang diumumkan itu lewat seminggu berbanding jangkaan sebenar sebelum ini, ekoran berlaku kebocoran bagi empat kertas peperiksaan itu baru-baru ini.

"Pada asalnya ia akan diumum sebelum cuti sekolah tetapi tarikh terbaharu telah ditetapkan pada 26 November," katanya selepas melawat lima buah sekolah di sekitar bandar ini di sini hari ini.

Katanya, biarpun terdapat kelewatan dari segi pengumuman keputusan peperiksaan, ia tidak akan menjejaskan calon untuk menempatkan diri mereka di beberapa sekolah berasrama penuh (SBP) memandangkan masa yang diperuntukkan adalah memadai.

Mengulas lanjut mengenai hasil tinjauan di lima buah sekolah di daerah ini, Khair menjelaskan, pihaknya berpuas hati dengan persediaan kesemua guru dan pelajar yang menduduki peperiksaan bagi kertas Matematik dan Bahasa Tamil hari ini.

Malah beliau turut memaklumkan seramai 13 calon yang terjejas akibat banjir di Penampang, Sabah turut menduduki semula peperiksaan kertas Matematik hari ini.

"Saya berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian kertas soalan termasuk di bilik kebal. Dulu kertas soalan di dalam sampul, sekarang dalam karung diikat kemudian dibuka di hadapan murid-murid.

"Malah ada dua murid datang melihat kertas soalan dalam sampul tersebut sebelum ia dibuka,'' katanya.

Khair memberitahu, bilangan calon yang menduduki mata pelajaran ulangan juga tidak banyak berbeza berbanding hari pertama peperiksaan tersebut biarpun ada segelintir calon yang tidak dapat mendudukinya atas pelbagai sebab munasabah.

Malah beliau juga memaklumkan, calon yang tidak dapat menduduki kertas peperiksaan ulangan telah mengemukakan alasan bertulis kepada pihaknya bagi memaklumkan mengenai ketidak hadiran mereka dan akan ditandakan sebagai 'Tidak Hadir'.





© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment