19 Apr 2018


JERANTUT: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan sekolah mengambil cuti berganti sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata permohonan cuti itu bertujuan memudahkan guru yang akan menjadi petugas pilihan raya dan sekolah digunakan sebagai pusat mengundi.
Katanya, kira-kira 6,000 sekolah dijangka terbabit dan proses pengosongan perlu dibuat sehari awal sebelum pengundian untuk kerja persediaan seperti penyusunan meja mengikut prosedur ditetapkan.
"Selain itu, guru dilantik sebagai pegawai dan petugas juga bertugas sehari lebih awal untuk meninjau serta mengemas bilik darjah atau dewan digunakan sebagai pusat mengundi. Malah, ada yang bertugas hingga tengah malam di pusat penjumlahan undi pada 9 Mei depan.
"Bilik darjah atau dewan terbabit perlu dikemas untuk sesi persekolahan keesokannya dan ia mengambil masa, justeru Kementerian Pendidikan wajar membenarkan sekolah mengambil cuti berganti," katanya di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berkata selain itu, pihak pengurusan sekolah dimaklumkan ada guru akan mengambil Cuti Rehat Khas (CRK) untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Sekiranya cuti berganti tidak diberikan, pihak pengurusan sekolah bakal menghadapi masalah ketiadaan guru dan bilik darjah belum berkemas yang akan menjejaskan pembelajaran.
"Sehubungan itu, kita memohon jasa baik Kementerian Pendidikan memberi cuti berganti bagi melancarkan perjalanan sesi persekolahan dan keselesaan, termasuk sekolah berasrama kerana guru bertugas sebagai warden asrama juga akan bercuti," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/411160/pru-14-sekolah-wajar-diberi-cuti-berganti-kongres

0 comments:

Post a Comment